Majlis Anugerah Cemerlang 2009
2 ulasan Isnin, November 23, 2009Pada Sabtu lepas (21/11/2009), telah diadaka Majlis Anugerah Cemerlang 2009 bagi meraikan murid-murid yang telah berjaya dalam peperiksaan akhir tahun ini. Majlis ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SKBBS iaitu Encik Roslan bin Abas. Ianya juga turut dihadiri oleh AJK PIBG 2009.
Majlis ini bermula dengan bacaan doa oleh Ustaz Wan Hazaruddin, ucapan Puan Guru Besar dan ucapan perasmian oleh YDP PIBG 2009. Majlis dipengerusikan oleh Puan Azlina Rahmat dan juga Ustazah Zahrawaani Ismail. Sejurus selepas ucapan perasmian, majlis ini diteruskan dengan pengumuman Tokoh Murid 2009, untuk kali ini, Tokoh Murid 2009 telah disandang oleh adik Amirul Izham bin Mohd Shahfri dan juga adik nur Syakirah binti Hasnal 'Az'hari. Kemudiannya, ianya diteruskan dengan penyampaian insentif UPSR untuk murid-murid yang telah berjaya mendapat 5A di dalam UPSR 2009.
Selain daripada itu, majlis ini juga disajikan dengan pelbagai persembahan oleh murid-murid SKBBS. Ianya diadakan secara selang-seli dengan penyampaian anugerah. Majlis Anugerah Cemerlang 2009 ini berakhir pada pukul 12.00 tengahari.
Tahniah diucapkan kepada semua murid-murid SKBBS yang telah menerima anugerah pada kali ini, juga ucapan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang terlibat bagi menjayakan majlis ini terutamanya kepada guru-guru, kakitangan sekolah, pekerja sekolah, murid-murid, ibu bapa dan semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung. Semoga jasa dan bakti kita dikira sebagai ibadah di sisi Allah...ameen...
Keputusan UPSR 2009
1 ulasanPada hari Khamis lepas (19/11/2009), keputusan UPSR 2009 telah diumumkan. Pada tahun ini, seramai 11 orang calon UPSR SKBBS mendapat 5A. Untuk tahun ini juga, SKBBS telah mencatatkan kenaikan peratusan lulus berbanding tahun lepas dengan peratus keseluruhan 79.9% berbanding 72.5% pada tahun lepas. Berikut merupakan peratusan lulus mengikut matapelajaran :
-Bahasa Melayu (Pemahaman) = 95 %
-Bahasa Melayu (Penulisan) = 88.5 %
-Bahasa Inggeris = 84.9 %
-Matematik = 91.4 %
-Sains = 90.6 %
Sekalung penghargaan kepada semua tenaga pengajar SKBBS yang telah tertungkus lumus bagi kejayaan anak-anak didik UPSR pada tahun ini, juga tahniah diucapkan kepada semua murid-murid yang telah berjaya...teruskan perjuangan anda...bertemu di puncak jaya!!
Kejohanan Golf Kali Pertama
0 ulasan Selasa, November 17, 2009Pada 15 November 2009 yang lalu, PIBG SK Bandar Baru Selayang telah mengadakan satu kejohanan golf bertempat di Perangsang Templer Golf Resort Rawang. Kejohanan ini diadakan bagi tujuan amal bagi menambah dana untuk keceriaan dan pembangunan sekolah. Seawal jam 6.30 para peserta seramai lebih kurang 50 orang, begitu bersemangat berkumpul di tempat pendaftaran untuk mendaftar. Pertandingan Golf ini turut disertai oleh seorang guru SKBBS, En. Sanusi Mohamed.
Pertandingan yang bermula pada pukul 8.00 pagi itu berakhir pada pukul 1.00 dengan perasmian penutupan oleh YDP PIBG SKBBS, En. Roslan Abas. Selain daripada sesi bergambar pada sebelah pagi, turut diadakan juga sesi cabutan bertuah pada akhir kejohanan tersebut.
Memandangkan sambutan yang agak menggalakkan daripada pihak ibubapa, adalah diharapkan kejohanan ini akan dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang. Selain bagi tujuan menambah dana, ia juga untuk mengeratkan silaturrahim antara ibu bapa dan guru. Juga diharapkan penyertaan yang lebih baik dari pihak guru untuk menyertai kejohanan ini pada masa hadapan.
Berita Oleh : Puan Rahiza Abd Rahim
Gambar Oleh : Admin & Mr. Black
Hi-Tea Kelab Guru & Kakitangan @ Vistana Hotel
0 ulasan Ahad, November 15, 2009Assalamualaikum & Salam Sejahtera...
Pada Rabu lepas (11/11/2009), Kelab Guru dan Kakitangan SKBBS telah mengadakan hi-tea akhir tahun. Majlis bertempat di Vistana Hotel, Kuala Lumpur.Hampir semua guru dan kakikatangan telah menghadirkan diri. Majlis telah dirasmikan oleh Puan Guru Besar Pn. Hjh. Nur Hena Bt Jalaluddin.
Seperti biasa majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust.Wan Hazaruddin b Wan Hassan dan ucapan aluan oleh Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan iaitu Pn. Zaidatul Akmaliah bt Mohd Shukri. Selesai sahaja ucapan dari Puan Guru Besar , ahli-ahli Kelab menikmati jamuan yang telah disediakan. Semasa majlis berlangsung cabutan bertuah turut diadakan. Dimana setiap segmen diselitkan dengan grand prize. Dalam pada itu permainan rebut kerusi telah diadakan. Pemenang pertamanya Pn. Rahiza bt Abd Rahim, kedua Pn. Shariah Samsudin dan ketiga Pn Farahida bt Abdul Wahid. Bagi kateogari lelaki pula telah dimenangi oleh En. Ishak b Mat Piah tempat pertama, diikuti dengan En. Muzaffar Amir tempat kedua dan ketiga En. Shahrizan b Ibrahim.
Selain itu dalam acara pakaian yang menepati tema iaitu, hijau epal telah dimenangi oleh Ustazah Mastini bt Suffian, Pn. Ida Yusnita. Acara hadiah misteri juga telah diadakan dimana setiap meja telah dilekatkan dengan stiker misteri.J adinya setiap meja mempunyai 2 orang pemenang yang bertuah.
Sebelum balik semua yang hadir telah mengabadikan kenangan bergambar beramai-ramai. Majlis berakhir lebih kurang pukul 5 petang.
Berita Oleh : Cik Aliza Arif
Photo Oleh : Admin
Lawatan Ke Sunway Lagoon
0 ulasan Selasa, November 10, 2009Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Pada 7 November 2009 yang lalu,Pasukan Pengakap SK Bandar Baru Selayang telah menganjurkan satu aktiviti ke Sunway Lagoon. Rombongan tersebut telah disertai oleh hampir seratus lebih orang murid-murid SKBBS bersama lapan orang guru.
Rombongan tersebut bertolak dari sekolah pada pukul 8.00 pagi. Setibanya di Sunway Lagoon,murid-murid telah diberi sedikit taklimat oleh guru pengiring. Aktiviti bermula sebaik sahaja murid-murid dan guru-guru menjejakkan kaki ke Dry Park Theme,iaitu destinasi pertama sebelum semuanya bergerak ke Wet Theme Park.
Semua murid termasuklah guru-guru begitu teruja, kerana inilah masanya semua murid dan cikgu-cikgu membebaskan diri dari semua bebanan kerja.
Berita Oleh : Puan Rahiza Abd Rahim
Gambar Oleh : Admin
Berposing Di Dalam Bas...Latihan Dalam Perkhidmatan (P&P Berkesan)
0 ulasan Sabtu, Oktober 31, 2009Hari ini telah diadakan Latihan Dalam Perkhidmatan khusus buat guru-guru SKBBS. Kali ini, ianya berkisarkan tentang proses P & P berkesan. Ceramah telah disampaikan oleh guru cemerlang Selangor DGA 34 iaitu Puan Siti Sarah Abd Malek. Beliau ialah guru Bahasa Melayu di SK Serendah, Hulu Selangor. Beliau juga merupakan jurulatih utama Bahasa Melayu Negeri Selangor dan berpengalaman lebih 20 tahun mengajar.
LDP ini telah diadakan di bilik gerakan SKBBS dan dihadiri oleh barisan tenaga pengajar SKBBS. Ianya bermula pada pukul 8.30 pagi. Banyak ilmu P & P yang telah dikongsikan oleh penceramah bersama barisan guru SKBBS.
Semoga LDP kali ini akan memberikan impak yang besar kepada tenaga pengajar SKBBS. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Puan Siti Sarah diatas perkongsian ilmu yang amat berharga ini.
Majlis Penutup Bulan Bahasa Kebangsaan
0 ulasan Selasa, Oktober 27, 2009Semalam (Isnin - 26/10/2009) telah diadakan Majlis Penutup Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat SKBBS di dataran sekolah. Majlis ini bermula sejurus selepas perhimpunan mingguan. Ianya dipengerusikan oleh Cikgu Muzaffar dan dirasmikan oleh Guru Penolong Kanan Akademik iaitu Puan Wan Azlian binti Wan Abdul Aziz.
Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan berbalas pantun oleh adik Syasya Nuratiq bersama adik Puteri Nur Elisya dan persembahan bercerita oleh adik Nor Arifah Ahmad. Kemudiannya, diakhir majlis tersebut, telah diadakan acara penyampaian hadiah buat murid-murid yang telah berjaya dalam pertandingan yang telah diadakan sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan lepas.
Semoga program yang telah dianjurkan ini akan melahirkan generasi yang bercita-cita untuk memartabatkan Bahasa Malaysia selama-lamanya.
Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak SKBBS
1 ulasanPada hari Jumaat yang lepas (23/10/2009), telah diadakan Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat SKBBS di dataran sekolah. Majlis ini dipengerusikan oleh Puan Ida Yusnita dan dirasmikan oleh Puan Guru Besar iaitu Puan Hajjah Nurhena Jalaluddin.
Sejurus selepas perasmian majlis, ianya diteruskan dengan persembahan yang telah dijayakan oleh murid-murid SKBBS dari pra-sekolah hinggalah ke tahun 6. Antara persembahan yang telah dipersembahkan ialah tarian 1Malaysia, nyanyian lagu Inggeris & Arab, pentomin, Nasyid dan sebagainya.
Majlis ini berakhir dengan acara memotong kek bagi meraikan murid-murid yang lahir pada bulan Oktober. Ianya diserikan dengan nyanyian lagu "Allah Selamatkan Kamu" oleh semua murid-murid & guru SKBBS.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat SKBBS ini...
Kem Bestari Solat Perdana
0 ulasan Isnin, Oktober 12, 2009Pada Sabtu yang lepas (10/10/2009) telah diadakan Kem Bestari Solat Perdana yang telah dianjurkan oleh Unit j-QAF dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Unit Ko-Kurikulum SK Bandar baru Selayang. Kem ini disasarkan untuk murid-murid tahun 1,2,3 dan 4. Seramai 402 orang murid telah menyertai kem tersebut.
Kem Bestari Solat Perdana kali ini menampilkan guru-guru SKBBS sebagai fasilitator untuk membimbing murid-murid serta menguji tahap kemampuan murid-murid dalam menguasai bacaan solat. Ianya bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 petang. Majlis penutup telah dirasmikan oleh GPK Pentadbiran iaitu Puan Wan Azlian bt Wan Abdul Aziz. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk murid mithali KBS 2009.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kem Bestari Solat Perdana ini. Semoga usaha dan jasa yang dicurahkan akan dikira sebagai ibadah di sisi ALLAH di akhirat nanti... ameen...
Salam Aidilfitri Buat Semua...
1 ulasan Khamis, September 17, 2009
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...Dikesempatan ini, kami warga SKBBS ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung blog ini...
Kami memohon beribu kemaafan seandainya ada melakukan kesilapan dan terkasar bahasa samaada secara sengaja ataupun tidak...
Kami doakan agar semua pengunjung blog ini dan juga seluruh warga SKBBS akan sentiasa dilindungi ALLAH selamanya...ameen...

Majlis Khatam Al-Quran
0 ulasan Selasa, September 15, 2009Hari ini telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran untuk murid-murid j-QAF dan juga murid-murid SKBBS yang telah berjaya menghabiskan bacaan 30 juzu' Al-Quran pada bulan Ramadhan ini. Majlis ini bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari.
Majlis Khatam Al-Quran ini telah diketuai oleh seorang khalifah iaitu Ustaz Wan Hazaruddin dan seramai 19 orang murid-murid j-QAF dari tahun 4 & 3 telah dipilih untuk mengepalai bacaan surah-surah lazim. Selain itu, untuk warga SKBBS yang lain, telah disediakan Al-Quran digital yang dipancarkan dihadapan pentas. Ianya bagi memudahkan warga SKBBS untuk mengikuti setiap bacaan yang telah diperdengarkan oleh para graduan khatam Al-Quran.
Selesai sahaja majlis khatam Al-Quran, ianya diteruskan dengan persembahan tilawah Al-Quran yang telah disampaikan oleh Adik Najihah Sulaiman, juga persembahan Azan oleh Adik Tasnim dan persembahan nyanyian lagu raya oleh kumpulan Al-Insyirah.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah buat para graduan khatam Al-Quran dan juga pemenang-pemenang pertandingan yang telah diadakan pada Jumaat lepas. Ucapan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan majlis ini, semoga ALLAH mengira penat lelah kita sebagai satu ibadah...ameen...
Majlis Perasmian Bulan Patriotik
3 ulasan Jumaat, Ogos 14, 2009Pada hari Isnin yang lepas (10/8/2009), tekah diadakan Majlis Perasmian Bulan Patriotik sempena dengan Kemerdekaan Malaysia kali ke-52. Majlis ini diadakan di tapak perhimpunan SKBBS sejurus selepas perhimpunan mingguan.
Majlis dipengerusikan oleh Cikgu Izwan dan dirasmikan oleh Puan Guru Besar iaitu Puan Hajjah Nurhena Jalaluddin. Ianya dimulai dengan bacaan doa dan ikrar, ucapan perasmian serta nyanyian lagu patriotik. Semoga semangat patriotik dan cintakan negara akan terus tersemat dihati sanubari semua warga SKBBS.
Program Tunas Gemilang @ TID
0 ulasan Sabtu, Ogos 08, 2009SK Bandar Baru Selayang telah terpilih sebagai salah sebuah daripada tiga buah sekolah di daerah gombak untuk pelaksanaan program Tunas Gemilang (TID) ISN/KPM bagi tahun 2009 yang dijalankan pada hari Sabtu, 8 Ogos 2009.

Program bermula pada jam 8.00 pagi di mana seramai 300 orang peserta daripada murid-murid tahun 1 hingga tahun 5 berkumpul di tapak perhimpunan untuk diberi taklimat. Sesi pertama program adalah untuk komponen antropometrik di mana peserta mengukur tinggi dan berat masing-masing.
Pada sesi kedua, peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan untuk menjalankan ujian-ujian yang mengukur kemampuan peserta dalam aspek kuasa eksplosif (Lompat jauh berdiri), kepantasan (Lari pecut 20m), ketangkasan (4x10m ulang-alik) dan kekuatan (Baling bola keranjang).Ujian-ujian tersebut dijalankan di 4 buah stesen di sekitar kawasan sekolah dan dikendalikan oleh 4 orang penguji dan 20 orang pembantu penguji yang terdiri daripada guru-guru SKBBS dan 3 orang guru penguji daripada daerah Hulu Selangor.
Program berakhir pada pukul 11.40 pagi dan peserta bersurai pada pukul 12.00 selepas makan tengahari dan penyampaian beg cenderamata daripada pihak ISN kepada semua peserta dan pegawai yang terlibat.
Untuk galeri gambar, sila klik di sini
Program Muhasabah Diri
1 ulasan Khamis, Ogos 06, 2009Pada 01 Ogos 2009 iaitu pada hari Sabtu yang lepas telah diadakan “Program Muhasabah (Koreksi) Diri Murid UPSR 2009 dibawah anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling & Panitia Agama dan Moral. Program ini dianjurkan khusus untuk murid-murid tahun 6 yang bakal menduduki UPSR pada bulan September ini.
Banyak pengisian program yang telah dilakukan sepanjang program tersebut yang bermula pukul 8.00pagi sehingga 11.00malam. Antara pengisiannya ialah slot motivasi, LDK, riadah, bacaan Yaasin, slot muhasabah termasuklah solat hajat dan solat taubat.
Seramai 110 orang murid tahun 6 telah mengikuti program ini dengan jayanya. Semua murid memberi kerjasama dan penglibatan secara menyeluruh bagi menjayakan objektif program ini dalam memberi kesedaran tentang pengorbanan ibubapa dan membuka minda pelajar untuk lebih positif dalam menghadapi peperiksaan Ujian Peperiksaan Penilaian Rendah (UPSR) pada bulan September 2009 ini. Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada tahun-tahun hadapan untuk memberi kesedaran dan keyakinan murid dalam menempuhi peperiksaan terutamanya murid UPSR.





































































